Saturday, May 26, 2012

Alhamdulillah untuk RezekiNYA


Assalammualaikum =)

Tadi petang, Ukhti bersama dengan teman rapat Ukhti pergi ke bahagian kewangan Universiti Brunei Darussalam untuk menguruskan hal Elaun. Ketika berada dibilik ofis tersebut, Ukhti dan teman rapat disapa oleh beberapa orang auntie yang berkemungkinan berkerja disana dan mereka berjenaka mengenai “kalau keluar elaun.. lanja ni.. di tarindak.. di empire”. Kami hanya tersenyum mendengarnya. Bila keluar dari bilik tersebut, Ukhti ditegur oleh teman rapat Ukhti kerana masih tersenyum. Ukhti pun sebenarnya tidak menyedari yang Ukhti sedang tersenyum. 

Ketika itu, Ukhti sedang berfikir betapa hebatnya wang ringgit sehingga mampu membuatkan semua orang sangat gembira mendapatkannya. Ketika itu, Ukhti berasa bersyukur kerana dengan rezeki yang akan diperolehi, dapat membantu ibu dan ayah Ukhti dalam pembelanjaan seharian, Insya Allah. Bila sampai dirumah, Ukhti pun bercerita dengan ibu Ukhti mengenainya dan ibu Ukhti berkata, “orang lain awal keluar, rezeki dorang.. yang belum keluar, ada rezeki, keluar nanti..”

Bercakap mengenai rezeki, Ukhti terus berfikir.. adakah rezeki yang dimaksud hanya terbatas kepada mendapat wang ringgit atau dibelanja makanan atau memperolehi barang atau sesuatu yang di-inginkan? Jika rezeki yang dimaksudkan itu adalah seperti itu, jadi adakah ucapan ‘Alhamdulillah’ yang bermaksud “aku bersyukur kepadamu Ya Allah” juga hanya terbatas kepada yang tersebut diatas? Jika rezeki yang dimaksudkan adalah yang tersebut diatas, adakah ia bermaksud, orang yang mempunyai harta benda yang lebih bererti mempunyai rezeki dan orang yang tidak mempunyai harta benda, tidak dianugerahi rezeki oleh Allah? 

Teringat Ukhti akan pesanan seorang teman baik Ukhti, “sebenarnya banyak perkara untuk disyukuri..”, Ukhti yakin, rezeki Allah itu banyak untuk disyukuri.. sangat banyak..

Andai mempunyai keluarga yang bahagia dan saling menyayangi, itu adalah rezeki kerana tidak semua orang mempunyai keluarga bahagia.



 Andai kita masih mempunyai ibu dan ayah yang sangat penyayang, itu adalah rezeki.. kerana tidak semua orang masih mempunyai ibu dan ayah.



Andai mempunyai suami yang sangat bertanggungjawab, menyayangi dan melindungi.. itu adalah rezeki untuk para Isteri kerana tidak semua isteri mempunyai suami sebegitu.


Andai mempunyai isteri yang solehah, berbakti dan menjaga makan minum suami.. itu adalah rezeki untuk para suami kerana tidak semua suami mempunyai isteri begitu



Andai pasangan suami isteri di anugerahi zuriat, itu adalah rezeki kerana tidak semua pasangan mampu mempunyai zuriat.


Andai kita mempunyai orang-orang yang menyayangi kita, itu adalah rezeki.. kerana tidak semua orang merasakan kasih sayang.


Andai kita masih dapat makan nasi walaupun hanya bersama pusu atau telur.. itu adalah rezeki kerana tidak semua orang dapat makan hari ini.


Andai kita mempunyai pekerjaan, walaupun meletihkan.. itu adalah rezeki kerana tidak semua orang mempunyai pekerjaan yang selesa untuk menampung perbelanjaan mereka.


Andai kita mempunyai katil dan bilik tidur, walaupun sempit.. itu adalah rezeki kerana tidak semua orang beralaskan tilam untuk tidur dimalam hari.



Andai kita mempunyai kasut atau pakaian atau jam tangan, walaupun hanya belasan ringgit.. itu adalah rezeki.. kerana tidak semua orang akan mampu membelinya.


Andai kita masih mampu minum, walaupun sekadar air putih.. itu adalah rezeki.. kerana tidak semua orang mampu meneguknya.



Andai kita masih merasa selamat untuk pergi kesana kemari dinegara sendiri, itu adalah rezeki untuk kita.. kerana tidak semua orang merasa selamat dinegaranya sendiri.


Andai kita mempunyai kereta, walaupun hanya sekadar kereta tua.. itu adalah rezeki kerana tidak semua orang mampu membelinya.



Sebenarnya banyak lagi yang Ukhti ingin tulis jika berbicara mengenai Rezeki. Banyak benda yang dapat kita syukuri.. banyak sebab untuk kita memanjatkan rasa syukur dan mengucapkan “Alhamdulillah”.. sebab rezeki itu ada dimana-mana jika kita melihat dari sudut pandang seperti yang diatas dan Ukhti yakin, semua orang akan berasa cukup dengan rezeki yang dianugerahkan, bukan hanya terbatas dengan adanya wang ringgit atau harta benda. Kebahagiaan tidak akan dibatas oleh wang ringgit semata-mata. Mungkin kita akan lebih bersyukur. Ini mungkin adalah peringatan yang sangat ‘nyaring’ untuk Ukhti sendiri hari ini, untuk tidak mengantungkan kebahagiaan diri kepada sesuatu yang tidak tetap. 

Antara banyak-banyak rezeki yang ada, mungkin rezeki terbesar bagi Ukhti adalah.. andai kita masih mempunyai badan yang sihat dan mampu melakukan apa saja perkara, melakukan solat, membaca Al-Quran, membantu orang.. itu adalah rezeki dari Allah.. kerana tidak semua orang mampu untuk berdiri sendiri ataupun hanya mengangkat tangan.. tidak semua orang mampu untuk berbuat perkara baik.. seperti video dibawah...





Assalammualaikum.

No comments:

Post a Comment